endowment fund banner

LAWATAN YB MENTERI PENDIDIKAN DAN YB MENTERI SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI KE SEKOLAH KEBANGSAAN MENGKABONG, TUARAN

26 MEI 2017 (JUMAAT)

YB Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dan YB Dato’ Seri Mahdzir Bin Khalid, Menteri Pendidikan semasa lawatan kerja kedua-duanya ke Tuaran pada 26 Mei 2017 telah melawat Sekolah Kebangsaan Mengkabong. Sekolah ini adalah merupakan salah sebuah sekolah di Tuaran yang telah melaksanakan pendekatan pendidikan sains berasaskan inkuiri (IBSE). Lawatan ini bertujuan untuk melihat dengan secara dekat pelaksanaan pendekatan IBSE dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) sains di sekolah dan juga keberkesanannya menarik minat dan penyertaan aktif murid dalam pembelajaran sains di kelas.

Semasa lawatan ini, kedua-dua Menteri telah melihat pelaksanaan PdP sains yang menggunakan pendekatan IBSE di dua buah kelas yang melibatkan pelajar tahun 4 dan 6. Sesi pengajaran ini dilaksanakan oleh dua orang guru sains SK Mengkabong, Puan Alice Kaling dan Puan Rosita Haji Juarah yang telah dilantik oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Akademi Sains Malaysia (ASM) sebagai Duta Sains Tuaran di bawah Program Inovasi Sosial MOSTI (MSI) yang dilaksanakan pada tahun 2016.

Turut hadir semasa lawatan ini adalah 38 Duta Sains dikalangan guru-guru sains di Tuaran yang juga telah dilatih IBSE selama 60 jam oleh pihak ASM dan dilantik sebagai Duta Sains Tuaran pada tahun 2016. Kedua-dua Menteri juga mengambil peluang ini untuk bertemu dan beramah mesra dengan Duta-Duta Sains ini serta berkongsi mengenai pelaksanaan IBSE di 25 buah sekolah rendah di Tuaran.

Lawatan ini adalah selari dengan hasrat kedua-dua Kementerian, MOSTI dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk meningkatkan bilangan bakat sains, teknologi dan Inovasi (STI) yang bakal menerajui pembangunan Negara melalui STI.

MOSTI melalui ASM telah lama melaksanakan inisiatif berkaitan IBSE ini melalui Program Pendidikan Sains yang dilaksanakannya sejak tahun 2001. Satu kajian rintis berkaitan kebolehlaksanaan pendekatan IBSE ini telah dijalankan oleh pihak ASM pada tahun 2012 - 2013 di empat buah sekolah rendah di Daerah Hulu Langat. Hasil kajian ini amat memberangsangkan yang mana didapati pencapaian murid-murid yang telah mengikuti pembelajaran menggunakan kaedah IBSE lebih cemerlang berbanding yang tidak menyertai. Ini jelas menunjukkan bahawa pendekatan ini berkesan dalam meningkatkan pencapaian murid-murid dalam mata pelajaran sains dan matematik. Selain itu, tiada sebarang perubahan yang diperlukan bagi pelaksaan pendekatan ini samaada dari segi tambahan mata pelajaran ataupun silibus kepada subjek sains dan matematik yang sedia ada.

Secara keseluruhannya, PdP menggunakan pendekatan IBSE ini merupakan salah satu cara yang dilihat dapat membantu meningkatkan pencapaian dan minat pelajar terhadap STEM. Kerjasama erat yang berterusan di antara pihak MOSTI dan KPM dalam pelaksanaan pendekatan ini sudah tentunya akan membantu peningkatan pencapaian murid-murid di dalam Negara dalam subjek sains dan matematik dan seterusnya diharapkan dapat meningkatkan kapasiti STI Negara.

 

 

IBSE1

 

Menteri Pendidikan Malaysia (dua dari kiri) dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (tiga dari kiri) memerhatikan kelas yang mengguna pendekatan IBSE dalam pengajaran dan pembelajaran.

IBSE2

 

Hasil kajian menunjukkan murid-murid yang mengikuti pembelajaran menggunakan kaedah IBSE lebih cemerlang dalam mata pelajaran sains dan matematik.