Inisiatif Perubatan Kepersisan di Malaysia
May 13, 2022Peranan STI adalah penting untuk pembangunan ekonomi dan perkembangan sosial. Justeru, ASM telah merangka satu rangka kerja yang dikenali sebagai 10-10 Malaysian Science, Technology, Innovation and Economic (MySTIE) Framework dengan mengintegrasi 10 pemacu utama sosioekonomi dengan 10 pemacu sains dan teknologi (S&T) yang sejajar dengan keperluan dan kekuatan Malaysia.
Sembilan puluh lima teknologi memuncul yang dikenal pasti dalam laporan kajian Emerging Science, Engineering & Technology (ESET) terbitan ASM, serta kajian peringkat global, analisis paten dan jangkaan teknologi telah dikumpulkan dalam 10 pemacu S&T. Manakala, 10 pemacu sosio-ekonomi dikenal pasti melalui bidang keutamaan penyelidikan nasional (National Key Economic Areas (NKEA), National Science Research Council (NSRC) Priority Areas) dan analisis mengenai ekosistem industri di pelbagai sektor ekonomi. Lebih 80 sesi libat urus yang disertai oleh pihak penggubal dasar, komuniti saintifik, akademik, pemimpin industri dan pihak profesional STI telah dianjurkan sejak Mac 2020 untuk mengumpul input dan maklum balas.
Tiga puluh Bidang Keutamaan STIE telah dikenal pasti melalui beberapa siri sesi libat urus dengan pihak berkepentingan bagi memastikan ianya selari dengan aspirasi negara. Bidang keutamaan ini telah diterima oleh Majlis Sains Negara pada 14 Julai 2020 dan akan dinilai setiap 2-3 tahun untuk memastikan ianya kekal relevan seiring perubahan masa.
Laporan 10-10 MySTIE Framework telah dilancarkan pada 8 Disember 2020 oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Khairi Jamaluddin, melalui siaran Astro Awani. Pelancaran ini merupakan pelancaran secara maya yang pertama bagi ASM berikutan keperluan mengamalkan norma baharu. Sesi perkongsian pengetahuan dengan organisasi tempatan dan antarabangsa (seperti Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Pertahanan, Malaysian Investment Development Authority (MIDA), Bank Negara Malaysia dan Bank Dunia) juga dianjurkan untuk meluaskan penglibatan rangka kerja ini. 10-10 MySTIE akan membolehkan pembangunan inisiatif STIE yang lebih strategik di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) dan seterusnya. E-buku ini telah dimuat turun lebih 700 kali dalam bulan pertama pelancarannya.
Rangka Kerja ini turut menyokong kolaborasi dengan membolehkan komunikasi pelbagai saluran dan maklum balas sesama pihak berkepentingan. Lapan kluster platform kolaborasi akan menyediakan penyelesaian yang lebih holistik dan akan membantu pelaksanaan projek strategik berimpak tinggi di seluruh Malaysia. Untuk menangani jurang ekonomi demi pembangunan negara yang lestari, Rangka Kerja ini akan menyediakan pendekatan sistematik untuk mengubah Malaysia ke arah ekonomi berteraskan pengetahuan intensif. Langkah ini akan membolehkan pembangunan 30 bidang keutamaan STIE yang inklusif bagi tujuan penjanaan kekayaan dan kesejahteraan sosial.
Peranan STI dalam pembangunan ekonomi tidak boleh dipertikaikan lagi. Malaysia mengiktiraf pengaruh STI ke atas ekonomi dan impaknya terhadap pembangunan sosial. Keduanya saling berkait rapat; oleh itu, terma STIE diperkenalkan untuk menekankan kepentingan pendekatan ekosistem sebagai penjana kemajuan negara.
