Menuju Kemakmuran, Kesejahteraan Masyarakat & Daya Saing di Peringkat Global | 10 – 10 MYSTIE FRAMEWORK
May 13, 2022Inisiatif ini mengkaji kemungkinan mengarusutamakan perubatan kepersisan untuk melengkapkan amalan klinikal semasa. Berikut adalah dapatan dari kajian ini:
Peraturan dan Perundangan
- Untuk menyediakan rangka kerja undang-undang dan peraturan termasuk mengemas kini Akta yang berkaitan. Agensi pengawalselia perlu cekap untuk memastikan bidang ini dapat berkembang pesat.
Inisiatif Biobank Negara
- Untuk melabur dalam biobank sebagai penyelaras pusat. Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HICoE) sedia ada boleh digunakan sebagai biobank peringkat nasional.
- Penyelaras bagi pelbagai inisiatif adalah perlu untuk memastikan impak perubatan kepersisan bersepadu. Langkah ini memerlukan penyelarasan di peringkat persekutuan, negeri dan institusi.
Inisiatif Data Raya
- Untuk melabur dalam infrastruktur bagi pusat penyelaras untuk menerima, mengambil dan menganalisis data pesakit tetapi mengekalkan akta privasi data pesakit (yang akan digubal).
- Pelaksanaan dan penerimaan piawaian integriti perkongsian data akan mempercepat perkongsian data. Langkah ini akan menjadi pemangkin kepada pengembangan terapi baharu, teknologi dan sistem ramalan.
Pengurusan Bakat
- Untuk memastikan sumber bakat yang terlatih dan mencukupi bagi pelaksanaan inisiatif perubatan kepersisan yang berkesan.
- Untuk memasikan inisiatif ini berjaya, tenaga kerja yang berkelulusan, berpendidikan dan berkemahiran diperlukan di setiap peringkat sistem. Ini termasuklah ahli bioinformatik dan kaunselor genetik.
Pentauliahan Makmal
- Pentauliahan ISO 15189 untuk semua makmal diagnostik molekul.
- Langkah ini bertujuan untuk memastikan sistem teknologi makmal yang cekap dan bersepadu dengan keseluruhan sistem kesihatan untuk memberi manfaat kesihatan maksimum kepada masyarakat.
Usaha Kerjasama dalam Penyelidikan
- Untuk memberikan insentif cukai seperti pemotongan dan pengecualian cukai kepada industri untuk mengambil bahagian dalam inisiatif ini.
- Penglibatan awam-swasta yang inklusif, bersepadu dan berterusan sama ada dengan rakan tempatan atau antarabangsa adalah penting bagi menyatukan penyelidikan, teknologi dan perkembangan proses untuk keberkesanan inisiatif perubatan kepersisan di Malaysia.
Peningkatan Akses kepada Diagnosis dan Rawatan
- Untuk mengawal selia dan memastikan akses dan kesediaan bagi rawatan berasaskan perubatan kepersisan untuk semua kes dan ubat-ubatan penting Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).
- Perubatan kepersisan akan mengubah hubungan antara pesakit, pengamal dan penyedia perkhidmatan swasta yang lain. Oleh itu, agensi pengawalselia perlu mengembangkan kepakaran dalam bidang ini dan memastikan sinergi dalam sistem penjagaan kesihatan di semua negeri di Malaysia.
Kertas posisi ini telah dibentangkan kepada Dr Hishamshah Mohd Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan Dan Sokongan Teknikal), pada November 2020 untuk mendapatkan pandangan dan sokongan Kementerian Kesihatan (KKM). KKM menyedari keperluan pelan nasional untuk menambah baik pengurusan rawatan pesakit dengan memanfaatkan kelebihan masing-masing. Hasil mesyuarat ini membolehkan penemuan ASM dibentangkan bersama pembentangan KKM kepada High-Tech Nation Council (HTNC) yang dipengerusikan oleh Menteri MOSTI, YB Khairy Jamaluddin pada Disember 2020.
Pembentangan bersama ini merangkumi pendekatan bersifat peribadi, ramalan, pencegahan dan penyertaan terhadap perubatan, dilengkapi analisis data raya untuk memberikan cadangan bersifat peribadi. Ia diluluskan untuk dibentangkan di Majlis Sains Negara pada suku pertama tahun 2021. HTNC menyediakan pelan strategik kepada teknologi sedia ada dan memuncul yang berpotensi untuk dibangunkan di Malaysia. HTNC akan memberi laporan terus kepada Majlis Sains Negara, yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.
Pengerusi:
Profesor Datuk Dr A Rahman A Jamal FASc
Penubuhan: September 2017