ASM Podcast: Sarawak’s Pepper and Indigenous Food Production
December 7, 2023ASM Hosts Cambodian Delegation for Knowledge Exchange on Foresight Initiative: Strengthening International Collaboration in Strategic Planning
December 7, 2023Presiden ASM, Academician Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen FASc melengkapkan lawatan kerja selama tiga hari di Pantai Timur. Pada 6 November 2023, beliau telah melakukan kunjungan hormat kepada Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu, Profesor Dato’ Dr Mazlan Abd Ghaffar FASc.
Fokus perbincangan adalah bagaimana ASM dan UMT boleh bekerjasama dalam memperkasa aktiviti Ekonomi Biru yang lebih mampan. Presiden ASM bersama delegasi juga telah diberi peluang untuk menyertai pelayaran perahu layar, iaitu salah satu program di bawah kursus Sains Nautika UMT.
Pada hari sama, beliau turut menyampaikan ucapan pada Jerayawara ASM Wilayah Pantai Timur. Beliau menekankan bahawa pentingnya setiap penyelidik untuk membangunkan penyelidikan berasaskan misi (mission-oriented research) bagi memastikan bahawa setiap projek dijalankan memenuhi keperluan serta cabaran semasa dan mampu memberikan manfaat kepada masyarakat.
Pada malam berkenaan, Presiden ASM menganjurkan makan malam bersama jaringan pakar ASM Wilayah Pantai Timur yang terdiri daripada 48 orang individu bagi mengetahui pencapaian terkini dan berkenalan lebih lanjut setiap daripada mereka.
Pada Selasa, beliau bersama delegasi ASM iaitu Ketua Pegawai Eksekutif ASM, Puan Hazami Habib dan Pengerusi ASM Wilayah Pantai Timur, Profesor Dato’ Dr Jafri Malin Abdullah FASc melakukan kunjungan hormat kepada YAB Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Semasa pertemuan tersebut, Presiden ASM telah menerangkan mengenai fungsi ASM secara am. Turut direncanakan adalah pertemuan antara Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) dan ASM bagi memperhebat kerjasama antara dua badan pemikir berkenaan. Delegasi ASM kemudiannya meneruskan lawatan ke Pusat Rujukan & Repositori Laut China Selatan UMT iaitu Muzium Biodiversiti yang mempamerkan spesimen marin serta meninjau kajian terkini oleh para penyelidik UMT.
Lawatan kerja tiga hari Presiden ASM di Pantai Timur diakhiri dengan lawatan ke Fakulti Biosumber dan Industri Makanan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). Penerangan diberikan mengenai pencapaian fakulti tersebut serta taklimat faedah pokok gelam bagi tujuan kesihatan dan selaku sumber ekonomi komuniti setempat. Delegasi ASM turut melakukan kunjungan hormat kepada Naib Canselor UniSZA Profesor Dato’ Dr Fadzli Adam. Perbincangan melihat kemungkinan kerjasama antara UniSZA dan ASM dalam isu keterjaminan makanan.