Webinar: Envisioning Malaysia MADANI through the STIE Perspective
September 5, 2023Pertandingan Clean Off Your Desk! Merdeka Edition
October 15, 2023Program Kembara Sains Borneo Siri 1 diakhiri dengan sesi lawatan sambil belajar ASM bagi meninjau sistem tagal di Penampang pada 26 Ogos 2023.
Tagal bermaksud ‘dilarang’ dalam bahasa Dusun. Adat resam masyarakat Kadazan Dusun ini dilaksanakan sejak turun temurun. Isu seperti penangkapan ikan yang tidak terkawal dan pencemaran sungai telah mendorong sistem tagal ini diperluas bagi memelihara sungai-sungai di Sabah.
Melalui sistem ini, terdapat larangan penangkapan ikan dan pembuangan sampah di zon merah, manakala ikan-ikan di zon kuning hanya akan dituai dalam masa dua hingga tiga tahun. Selain itu, ikan-ikan di zon hijau dibenarkan untuk dituai sepanjang tahun sebagai sumber makanan dan ekonomi masyarakat tempatan.
Jabatan Perikanan Sabah telah bekerjasama dengan penduduk tempatan dan bertindak sebagai penasihat teknikal untuk membantu mereka melaksanakan sistem tagal ini dengan efektif.
Melalui sumbangan dana serta pembinaan kemudahan seperti pondok dan tandas, sungai-sungai berkenaan telah menjadi pusat eko-pelancongan. Sebanyak 628 sistem tagal telah dilaksanakan di Sabah, dengan pendapatan dijana oleh komuniti mencecah RM500,000 setahun.
Konsep kelestarian yang diamalkan sistem tagal adalah seiring dengan inisiatif Kesihatan Planet yang kini sedang aktif dilaksanakan oleh ASM. Sistem ini adalah antara contoh terbaik yang mempamerkan keseimbangan kesihatan alam semula jadi, manusia dan haiwan.
ASM mengucapkan setinggi-setinggi penghargaan kepada Jabatan Perikanan Sabah yang diketuai oleh Ketua Unit Tagal, Puan Bernedeth Joseph atas perkongsian yang bermanfaat ini.
Dr Jurry Foo yang telah menulis sebuah kertas akademik tentang manfaat sistem tagal dalam industri pelancongan di atas merupakan seorang Ahli Associate ASM.