
ASM-AMS UK Diagnostics and Therapeutics Workshop
August 5, 2024
ASM Factsheet: ASM Science Journal
August 7, 2024Academician Professor Emerita Datuk Dr Asma Ismail FASc, Pengerusi Pelan Tindakan Kesihatan Planet Negara (PTKPN) merupakan tetamu jemputan dalam rancangan Apa Khabar Malaysia yang disiarkan oleh Bernama TV pada 4 Julai 2024.
Dalam mukadimah beliau, Datuk Dr Asma telah menyatakan bahawa selama ini, Malaysia telah mengambil langkah dalam memastikan kelestarian dan kemampanan negara sentiasa terjaga. Beliau turut mengulas bahawa keberkesanan sesebuah dasar bergantung kepada pelaksanaan dasar tersebut. Kurangnya peguatkuasaan, pelaksanaan secara “silo”, serta kurangnya kesedaran dan pengetahuan masyarakat tentang sesebuah dasar merupakan beberapa faktor yang menyumbang kepada pelaksanaan dasar yang kurang berkesan.
Selain itu, Datuk Dr Asma turut menyatakan bahawa ketiadaan insentif bagi pemegang taruh merupakan salah satu sebab bahawa sesebuah dasar tidak dilaksanakan dengan sempurna. Oleh yang demikian, iltizam kepimpinan amat penting dalam melaksanakan dasar yang telah dirangka. Sekiranya iltizam kepimpinan berada di tahap yang tinggi, sumber dan tenaga untuk menggerakkan dasar akan disediakan.
Seterusnya, Datuk Dr Asma telah mengulas tentang pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals) oleh Malaysia. Menurut beliau, Malaysia turut mengorak langkah untuk mencapai SDG, namun begitu, hanya 16% sasaran SDG yang telah tercapai. 84% lagi tidak tercapai, malah ada yang semakin merosot.
Antara faktor SDG tidak tercapai adalah mengutamakan keuntungan ekonomi dan memperlekeh kesihatan alam sekitar. Hal ini semakin jelas sewaktu era pandemik COVID-19, di mana negara-negara telah menumpukan tenaga dan sumber terhadap meningkatkan ekonomi masing-masing. Akibatnya, dasar-dasar yang tertumpu kepada pemeliharaan alam sekitar telah dibelakangi. Apabila dasar-dasar tersebut dibelakangi, pelbagai aktiviti yang membawa kemusnahan terhadap alam sekitar telah terjadi.
Datuk Dr Asma telah menekankan bahawa alam semula jadi perlu ada dalam keadaan yang seimbang; sebarang kerosakan yang berlaku akan menyebabkan ketidakseimbangan. Hal ini jelas dengan keadaan cuaca yang melampau yang melanda seluruh dunia, sebagai contoh, Jemaah Haji yang terkorban di Makkah akibat menunaikan ibadah haji dalam cuaca yang panas.
Selain itu, pencemaran udara kini berleluasa akibat pembakaran bahan api fosil. Tambahan pula, kehilangan biodiversiti yang semakin meruncing akibat habitat haiwan yang sering dimusnahkan untuk aktiviti pertanian.
Datuk Dr Asma menyatakan bahawa kesihatan planet berkadar terus dengan kesihatan manusia. Menurut beliau, kita telah memasuki era anthropocene di mana kemusnahan alam berada pada tahap yang serius.
Malaysia sendiri telah mengalami kerugian ekonomi yang teruk disebabkan perubahan iklim. RM7.4 bilion kerugian telah dicatatkan akibat banjir, selain kos kebajikan akibat kematian pramatang sebanyak RM947 bilion. Ini bersamaan dengan 3% daripada GDP negara tahun 2019-2020.
Datuk Dr Asma menjelaskan bahawa pencemaran udara telah menyebabkan peningkatan penyakit respiratori dan kanser paru-paru. Sebagai contoh, “kanser paru-paru” atau penyakit sistem pernafasan yang lain ditulis sebagai punca kematian bagi pesakit yang telah meninggal dunia. Hakikatnya, pendedahan pencemaran udara merupakan punca sebenar bagi kematian pesakit tersebut.
Menyedari kepentingan dalam menjaga kesihatan planet untuk kesihatan populasi negara, ASM melalui MOSTI sedang merangka PTKPN dengan persetujuan daripada Majlis Sains Negara agar kerosakan alam dapat ditangani dan Malaysia dapat memulihkan kesihatan planet.
Datuk Dr Asma menjelaskan bahawa beberapa negara seperti Sweden, Costa Rica, Amerika Syarikat, Jerman dan Kanada telah mengiktiraf kesihatan planet dan telah diserap dalam dasar negara masing-masing. Oleh sebab kesihatan planet merupakan suatu topik yang kompleks, beliau turut mengambil maklum bahawa menjaga kesihatan planet merupakan sebuah usaha yang tidak mudah untuk dijalankan.
Salah satu soalan yang telah dijawab oleh Datuk Dr Asma ialah bagaimana untuk menjalankan kegiatan ekonomi tanpa menyebabkan kerosakan alam sekitar dan menyebabkan pencemaran seperti pencemaran udara. Datuk Dr Asma telah menyatakan bahawa masalah pencemaran alam sekitar ialah sebuah masalah yang kompleks dan juga melibatkan penyelesaian yang kompleks. Oleh itu, tiga faktor utama yang perlu dikaitkan ialah: keperluan rakyat, kemakmuran negara dan iltizam kepimpinan. Ketiga-tiga faktor tersebut berkait rapat dalam memastikan negara kekal makmur di samping mengurangkan impak negatif terhadap alam sekitar.
Selain itu, Datuk Dr Asma menerangkan bagaimanakah peranan ilmu tradisional dan budaya dapat diwujudkan dalam mencapai kesihatan planet? Pertama sekali, Datuk Dr Asma menegaskan bahawa PTKPN menggunakan pendekatan “whole Malaysia, whole government, whole society”, yakni seluruh Malaysia sama-sama memikul tanggungjawab untuk mencapai objektif kesihatan planet.
Menurut beliau, setelah pandemik COVID-19, ramai telah menyedari bahawa sains semata-mata tidak mencukupi untuk menjawab semua persoalan dan mengatasi masalah yang dihadapi oleh masyarakat. Pengetahuan yang inklusif perlu ada untuk menyelesaikan masalah pada zaman ini. Oleh yang demikian, aspek kerohanian dan pengetahuan pribumi perlu digabungkan dengan sains untuk mencapai penyelesaian yang mampan.
Datuk Dr Asma telah mengambil sistem tagal di Sabah sebagai contoh penerapan pengetahuan pribumi dengan sains. Sistem tagal merupakan sistem yang dibentuk oleh kaum Kadazandusun di Sabah. Sistem tersebut membahagikan sebatang sungai kepada tiga zon: zon merah, zon kuning dan zon hijau. Penangkapan ikan hanya dibenarkan pada waktu-waktu tertentu sahaja di zon kuning manakala aktiviti penangkapan ikan dibenarkan di zon hijau. Tiada sebarang aktiviti penangkapan ikan dibenarkan di zon merah atas sebab pemeliharaan populasi ikan. Namun begitu, aktiviti riadah seperti eko-pelancongan boleh dijalankan yang boleh menjana pendapatan bagi penduduk setempat.
Seterusnya, Datuk Dr Asma menjelaskan bagaimana kesihatan planet berkait rapat dengan kesejahteraan rakyat Malaysia, serta peranan PTKPN dalam membentuk masa depan negara. Datuk Dr Asma menjelaskan bahawa sebuah dasar dan peraturan yang mampan akan dirangka dalam penyediaan pelan tindakan ini. Oleh yang demikian, kajian yang terperinci perlu dijalankan terlebih dahulu. Selain itu, faktor-faktor yang menyebabkan kurangnya tahap pelaksanaan dasar sebelum ini turut dikenalpasti. Setelah itu, pemboleh daya yang mampu memacu pelaksanaan dengan lebih baik perlu dikenalpasti.
Ahli Jawatankuasa PTKPN telah menjalankan soal selidik yang melibatkan lebih daripada 3,000 responden dalam kalangan rakyat dan syarikat seluruh Malaysia untuk meneliti apa yang boleh meningkatkan kesejahteraan rakyat di samping memacu pelaksanaan dasar dengan lebih baik. Setelah itu, soal selidik telah mendapati bahawa syarikat yang berbeza mempunyai pemboleh daya yang berbeza. Oleh itu, dasar yang dirangka tidak boleh bersifat “one-size fits all”. Untuk memastikan kesejahteraan rakyat, pendidikan pada setiap tahap perlu dititikberatkan. Melalui pendidikan, pemikiran (mindset) menjaga kesihatan planet boleh diterapkan.
Selain itu, Datuk Dr Asma turut menjawab persoalan tentang peranan individu dan komuniti industri yang boleh menyumbang kepada anjakan budaya dan perubahan tingkah laku terhadap pemuliharaan planet untuk generasi depan. Bagi masyarakat umum, beliau telah memetik contoh yang paling mudah dalam rutin seharian: jangan membiarkan air paip mengalir semasa memberus gigi atau bercukur di waktu pagi untuk mengurangkan pembaziran air. Sumber air merupakan sumber yang penting dan berharga.
Selain itu, penggunaan plastik guna sekali (single-use plastic) juga boleh dikurangkan semasa membeli belah. Beliau menyarankan agar masyarakat untuk menggunakan beg guna semula. Amalan ini bukan sahaja mengurangkan pencemaran plastik, malah mengurangkan pendedahan kita terhadap mikroplastik yang boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan.
Berkaitan isu mikroplastik, Datuk Dr Asma turut menjelaskan bahawa bahan tersebut merupakan salah satu ancaman kesihatan yang utama di zaman ini. Akibat pembuangan plastik ke lautan, mikroplastik kini hadir dalam hidupan laut, seterusnya membawa mikroplastik ke dalam rantaian makanan. Selain itu, peningkatan sisa plastik turut berlaku semasa COVID-19 dalam bentuk pelitup muka dan kelengkapan perlindungan diri (PPE). Tambahan pula, Datuk Dr Asma turut mengetengahkan bahawa mikroplastik kini telah ditemui dalam saluran darah dan organ-organ badan. Mikroplastik tersebut telah diserap oleh tubuh badan melalui menghidu, memakan dan menyentuh produk plastik.
Kesimpulannya, Datuk Dr Asma menegaskan pentingnya iltizam kepimpinan dalam pelaksanaan dasar yang mampan. Beliau juga menyentuh tentang impak negatif pencemaran alam sekitar, pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), serta perlunya pendekatan inklusif yang menggabungkan sains, kerohanian, dan pengetahuan pribumi.
Saksikan temu bual Academician Profesor Emerita Datuk Dr Asma Ismail FASc, Pengerusi Pelan Tindakan Kesihatan Planet Negara (PTKPN) di rancangan Apa Khabar Malaysia.