Published on 2021-01-25
PRAKATA
Penurunan bilangan dan peratusan pelajar dalam menyertai kelas aliran sains merupakan satu isu kritikal dalam pembangunan negara. Kesan penurunan ini boleh menyebabkan negara kekurangan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) sedangkan dunia kini sedang beralih ke Revolusi Industri 4.0. Pelajar sekolah semakin hilang minat untuk mengambil mata pelajaran STEM kerana pengajaran dan pembelajaran STEM di sekolah tidak memberi makna kepada kehidupan seharian mereka, sukar difahami dan kurang elemen penyiasatan sebagaimana ahli sains meneroka ilmu sains melalui pelbagai percubaan yang menyeronokkan.
Sehubungan dengan itu, modul ini dirangka bagi membantu guru menjadikan kelas STEM lebih menyeronokkan dan bermakna kepada pelajar melalui pendekatan pembelajaran Sains berasaskan inkuiri atau Inquiry-Based Science Education (IBSE). Siri modul ini mengambil tema Emerging Technologies manakala modul ini mengetengahkan salah satu teknologi termaju ini iaitu Teknologi Penyuntingan Gen. Ilmu asas dan terkini berkenaan topik ini disusun dalam modul ini bagi membantu guru memahami teknologi ini secara mendalam supaya mereka boleh menjalankan IBSE secara efektif dan yakin. Modul ini juga memberikan cadangan aktiviti dan bahan yang sesuai berasaskan IBSE untuk penggunaan guru dalam kelas mereka supaya inkuiri penemuan dan penyiasatan boleh dijalankan oleh pelajar. Guru boleh menyesuaikan aktiviti mengikut tahap pelajar dan sukatan mata pelajaran sekolah rendah atau menengah. Modul ini akan lebih efektif bagi guru yang telah melalui kursus IBSE.